LABUAN: Kumpulan tarian Taming Mas Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) muncul Naib Johan Semai Gembala Labuan Pertandingan Tarian Kreatif Borneo Kategori Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Pentas Utama, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sempena Road to MAHA 2026 Labuan, malam Khamis lalu.
Dengan kejayaan itu, Taming Mas membawa pulang RM2,500 dan hamper.
Taming Mas yang dibimbing Mas Adi Alimin turut membolot Anugerah Penari Terbaik Lelaki dan Perempuan menerusi Michael Brandon dan Saidatul Nazratul Ulya.
Taming Mas pulang ceria selepas menerima Anugerah Busana Terbaik.
Kesemua pemenang meraih RM200.
Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Taming Mas yang terus mengharumkan nama UMSKAL di persada seni dan budaya tempatan.
Walaupun penari silih berganti namun Taming Mas terus memberikan saingan sengit dan menampilkan persembahan menarik.
“Kejayaan itu adalah hasil disiplin dan komitmen penari hasil bimbingan jurulatih Mas Adi Alimin,”katanya.
Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain.
Program ini menjadi platform bagi mengetengahkan bakat, kreativiti dan keunikan seni budaya Borneo dalam kalangan peserta tempatan, sekali gus menyemarakkan lagi kemeriahan Road To MAHA Labuan 2026 yang menghimpunkan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.

Mas Adi (tengah) bersama penari Taming Mas UMSKAL yang muncul naib johan Semai Gembala Labuan Pertandingan Tarian Kreatif Borneo Kategori Wilayah Persekutuan Labuan 2026.






