JKKK diseru sentiasa turun padang dekati penduduk kampung

TAMBUNAN: Ketua Bahagian PBS N.39 Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, menyeru semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN N.39 Tambunan agar menghayati amanah sebagai pemimpin masyarakat yang sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta bertindak menyelesaikan masalah penduduk, bukan sekadar memegang jawatan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Tugasan dan Tanggungjawab Pengerusi JKKK dan Biro-Biro sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK Sesi 2026–2030, anjuran bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.39 Tambunan dan Pejabat Daerah Tambunan.
Menurutnya, JKKK merupakan institusi penting yang menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi. Justeru, setiap pengerusi perlu memainkan peranan secara aktif bagi memastikan dasar, program serta bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan.
“Jawatan Pengerusi JKKK bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu amanah yang besar. Kepimpinan sebenar diukur melalui kesungguhan membantu rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat serta membawa pembangunan kepada kampung,” katanya.
Beliau berkata, setiap pengerusi JKKK perlu memiliki sifat amanah, jujur, berintegriti, mudah didekati serta sentiasa bersedia mendengar pandangan dan aduan penduduk tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.
Dr. Rockey turut menggesa semua biro di bawah JKKK, termasuk Biro Kebajikan, Belia dan Sukan, Wanita, Pendidikan, Keselamatan, Ekonomi serta Kebersihan dan Keceriaan, agar memainkan peranan secara lebih proaktif kerana kejayaan sesebuah kampung bergantung kepada kerjasama erat antara pengerusi dan semua ahli jawatankuasa.
Dalam ceramah itu, beliau memberi penekanan khusus terhadap aspek keselamatan kampung yang disifatkan sebagai keutamaan setiap pengerusi JKKK. Beliau menyeru mereka supaya sentiasa peka terhadap sebarang kejadian jenayah, termasuk isu kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyewa di kawasan kampung, penyalahgunaan dadah serta kes kecurian, khususnya kecurian kabel yang dilaporkan semakin meningkat di daerah Tambunan.
Menurutnya, pengerusi JKKK tidak boleh berdiam diri apabila berdepan isu keselamatan yang boleh mengancam keharmonian masyarakat. Sebaliknya, mereka perlu bertindak sebagai pemimpin setempat yang peka, prihatin dan berani mengambil langkah awal bagi membendung kegiatan jenayah daripada terus berleluasa.
Beliau turut menegaskan bahawa pengerusi JKKK bersama semua biro perlu menjadi rakan strategik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencegah serta mengurangkan kadar jenayah di kampung masing-masing. Katanya, kerjasama erat antara masyarakat dan pihak polis merupakan kunci utama dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
Selain itu, beliau menggesa setiap pengerusi JKKK menjadi “mata dan telinga” pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, pergerakan individu yang mencurigakan serta sebarang ancaman keselamatan di kampung masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Menyentuh aspek pembangunan, Dr. Rockey mengingatkan supaya setiap kampung mempunyai pelan pembangunan yang jelas, mengutamakan kebajikan golongan miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal, di samping memastikan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
Mengakhiri ceramahnya, beliau menyeru semua pengerusi JKKK agar terus memperkukuh semangat perpaduan, menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan serta mengamalkan budaya kepimpinan yang bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan kampung.
Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK bagi sesi 2026–2030 telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) merangkap Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Pada majlis itu, seramai 119 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan masing-masing membabitkan 119 kampung di seluruh kawasan DUN N.39 Tambunan.

Dr. Rockey menyampaikan ceramah mengenai tugasan dan tanggungjawab Pengerusi JKKK (kiri), manakala sebahagian Pengerusi JKKK DUN N.39 Tambunan yang hadir pada majlis tersebut (kanan).