Tujuh kampung bergabung rai Pesta Kaamatan

TUARAN: Sambutan Pesta Kaamatan secara bersama menggabungkan tujuh buah kampung masyarakat Dusun Suang Lotud di Balai Raya Kampung Marabahai Dungun Bawang Sarayo baru-baru ini bukan saja meriah tetapi Istimewa.
Tujuh kampung yang bergabung menjayakan Pesta Kaamatan itu ialah Kampung Dungun, Marabahai, Tanjung, Tagas, Panjut, Raganan dan Bukit Payung.
Pesta Kaamatan itu ini menjadi lebih bermakna atas kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang melancarkan Pesta Kaamatan itu.
Jasni berkata, masyarakat Dusun Suang Lotud perlu sentiasa mempertahankan dan memulihara budaya dan adat tradisi mereka kerana ia boleh menyumbang kepada keutuhan keluarga, perpaduan dan hubungan silaturahim di antara sesama rakyat di negeri ini.
Beliau juga menyampaikan penghargaan dan pujian kepada pengerusi penganjur Aradin Aning beserta Jawatankuasa Pelaksana yang berjaya menggabungkan tujuh kampung dalam satu Pesta Kaamatan yang meriah dan bermakna. 
Jasni turut menyaksikan acara pertandingan sukan rakyat, tarik tali, melastik, pertandingan minuman tradisi terbaik dan unduk ngadau.

PERASMIAN…Acara perasmian Pesta Kaamatan Kampung Marabahai.