Ewon tinjau projek kecil, kemudahan rakyat di Penampang

Oleh JOHN TAMBANAN


PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, meninjau pelaksanaan beberapa projek kecil dan kemudahan rakyat yang dibiayai menerusi Peruntukan Khas Ahli Parlimen Penampang.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah serta Ahli Parlimen Penampang, berkata projek berkenaan dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk, termasuk aduan dan permohonan yang diterima Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang.
Antara projek yang ditinjau ialah pembinaan gabion di Kampung Sindanan yang siap tahun ini serta projek gabion di Kampung Nosoob Baru yang kini dalam pelaksanaan.
Beliau turut meninjau projek menaik taraf jalan perumahan kepada jalan konkrit di Kampung Hubah serta jalan perumahan konkrit di Kampung Tuavon yang siap dilaksanakan hujung tahun lalu bagi menggantikan jalan gravel.
Di Kampung Sogumau Madsiang, Ewon meninjau projek pembinaan culvert konkrit dan tebing gabion yang dilaksanakan selepas laluan penduduk terputus akibat hakisan tanah.
“Susulan lawatan saya bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, saya menyediakan peruntukan untuk membina culvert dan tebing gabion. Kemudahan itu sudah siap,” katanya.
Beliau turut meninjau projek pembinaan parit konkrit di Kampung Timpoluon Sokid yang sedang dilaksanakan susulan aduan penduduk.
Selain itu, Ewon melawat Dewan Terbuka Kampung Timpangoh Babagon yang siap dibina tahun ini bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Katanya, kemudahan itu dibina selepas penduduk memohon sebuah dewan terbuka ketika lawatannya ke kampung berkenaan tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Ewon menghadiri Bazaar St Paul Nagasiba dan menyampaikan sumbangan tambahan RM8,000 kepada Jawatankuasa Pengumpulan Dana bagi menyokong pembinaan bangunan baharu Gereja St Paul Nagasiba.
Sumbangan itu menjadikan jumlah peruntukan disalurkan kepada tabung pembangunan gereja berkenaan tahun ini sebanyak RM58,000, termasuk RM50,000 yang disumbangkan pada April lalu.

TINJAU …. Ewon Benedick meninjau Dewan Terbuka Kampung Timpangoh Babagon yang siap dibina tahun ini.