Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Kinabalu Running Club melahirkan rasa dukacita dan kebimbangan susulan insiden langgar lari yang berlaku semasa penganjuran Borneo International Marathon berlangsung semalam.
Insiden berkenaan menyebabkan dua individu iaitu seorang pelari dan seorang petugas Rela mengalami kecederaan namun dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kinabalu Running Club, memaklumkan kedua-dua mangsa yang cedera telah menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan acara.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan pemerhatian.
“Ahli Jawatankuasa Penganjur turut menghubungi keluarga mangsa dan memantau rapat keadaan mereka sebagai sokongan kepada mangsa serta ahli keluarga yang terkesan.
“Pihak penganjur mengesahkan satu laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihak penganjur komited untuk terus memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas acara sentiasa menjadi keutamaan kami,” tegasnya.
Sehubungan itu, Kinabalu Running Club turut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi penutupan jalan, langkah keselamatan marathon serta menghormati kehadiran pelari dan petugas sepanjang acara sukan berlangsung.
“Kinabalu Running Club turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan serta orang awam yang bertindak pantas membantu ketika insiden berlaku,” katanya.

Salah seorang pelari yang dipercayai cedera akibat kejadian berkenaan.-(gambr viral)





