Perkukuh pembangunan Sabah menerusi projek strategik di Sandakan
Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Kerajaan Madani kekal komited memastikan agenda pembangunan Sabah terus diperkukuh secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh infrastruktur asas di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, kelulusan peruntukan sebanyak RM2.17 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kawasan Sandakan membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam merapatkan jurang pembangunan dan membawa manfaat nyata kepada rakyat Sabah.
Katanya, peruntukan itu bukan sekadar angka, tetapi membawa perubahan sebenar kepada rakyat melalui penyediaan jalan raya yang lebih baik, bekalan air bersih, sistem sanitasi yang sempurna serta peningkatan aspek keselamatan di Sandakan.
“Kerajaan Madani mendengar keperluan rakyat dan menterjemahkannya melalui tindakan serta pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan masyarakat,” katanya.
Bagi kawasan Sandakan, sebanyak 39 projek pembangunan di bawah RMK13 Rolling Plan 1 (RP1) telah dikenal pasti dengan nilai keseluruhan RM2.17 bilion merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk infrastruktur jalan raya, bekalan air, pendidikan, keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.
Untuk tahun 2026 sahaja, sebanyak RM213.32 juta diperuntukkan bagi membiayai pelaksanaan projek-projek berkenaan.
Daripada jumlah itu, 26 projek kini berada dalam fasa pelaksanaan, 12 projek memasuki fasa pasca pelaksanaan manakala satu projek telah siap sepenuhnya.
Perkembangan positif itu mencerminkan tahap kemajuan yang memberangsangkan serta koordinasi kukuh antara kementerian, agensi pelaksana dan kerajaan negeri.
Antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan jalan dari Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum bagi meningkatkan jaringan perhubungan dan mobiliti rakyat; pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Sandakan untuk memperkukuh sistem sanitasi bandar; pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Jeti Mawilla 2 bagi mempertingkatkan aspek keselamatan dan pertahanan; serta projek menaik taraf sistem bekalan air Sandakan untuk memastikan bekalan air yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk.
Secara keseluruhan, majoriti projek berada pada landasan yang ditetapkan mengikut jadual pelaksanaan.
Keadaan itu membuktikan Kerajaan Madani bukan sahaja memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan Sabah, malah terus menterjemahkannya melalui tindakan, pelaksanaan dan peruntukan yang konkrit.
Kerajaan akan terus memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan secara berkesan, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan seimbang, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi wilayah.

MUSTAPHA SAKMUD



