Oleh Wu Vuide
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan perlu menjadikan Belanjawan 2027 sebagai titik mula untuk membetulkan ketidakseimbangan pembangunan yang berlarutan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kata Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, selama puluhan tahun peruntukan pembangunan Persekutuan didakwa lebih memihak kepada Semenanjung, dengan kira-kira 86 hingga 87 peratus disalurkan ke Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak bersama-sama menerima hanya 12 hingga 13 peratus setiap tahun.
Katanya, formula berkenaan tidak menggambarkan keluasan geografi, keperluan infrastruktur, tunggakan pembangunan serta potensi ekonomi Sabah dan Sarawak.
“Sabah dan Sarawak dipujuk untuk membentuk Malaysia dengan janji kedua-dua wilayah ini akan dibangunkan setanding dengan Semenanjung.
“Namun, janji itu gagal direalisasikan dan Sabah kini mungkin ketinggalan 30 hingga 40 tahun dari segi pembangunan,” katanya.
Jeffrey berkata, Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus menganggap Sabah dan Sarawak masing-masing hanya sebagai satu unit berbanding Semenanjung yang terdiri daripada 11 negeri sebagai 11 unit.
Katanya, pendekatan itu mengabaikan kedudukan istimewa kedua-dua negeri Borneo dalam Perlembagaan serta keadaan yang melatari pembentukan Malaysia pada 1963.
Beliau berkata, Sabah sebelum ini mempunyai lima residensi dan kira-kira 30 daerah serta daerah kecil, dengan sebahagiannya lebih luas berbanding negeri di Semenanjung.
Sebagai contoh, katanya, kawasan Parlimen Keningau lebih luas daripada Pulau Pinang, Melaka dan Perlis jika digabungkan.
Jeffrey berkata, Sabah kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia, dengan lapan daripada 10 daerah termiskin negara berada di negeri itu.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Sabah juga kurang daripada separuh purata nasional, manakala usaha membasmi kemiskinan luar bandar masih perlu dipertingkatkan dengan sebahagian penduduk masih bergantung kepada bekalan air graviti yang tidak dirawat serta kekurangan kemudahan asas.
“Realiti ini menunjukkan formula peruntukan pembangunan sedia ada gagal merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Sabah dan Sarawak diberikan bahagian dana pembangunan Persekutuan yang lebih adil dan saksama mulai Belanjawan 2027.
Katanya, peruntukan perlu mengambil kira keluasan geografi, jumlah penduduk, keperluan pembangunan, defisit infrastruktur serta sumbangan kepada ekonomi negara.
Jeffrey turut mencadangkan hak perlembagaan Sabah menerima 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah dikira dan dibayar mulai 2026.
Bagi tuntutan bagi tempoh “tahun yang hilang” antara 1974 hingga 2021, katanya, perkara itu boleh dibincangkan dan dirunding secara berasingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempunyai peluang untuk menunjukkan iltizam politik dan kepimpinan bagi merealisasikan pembayaran hak 40 peratus Sabah.
Katanya, pembayaran itu bukan sahaja memenuhi tanggungjawab perlembagaan, malah menyediakan sumber kewangan bagi memperbaiki infrastruktur, membasmi kemiskinan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Keutamaan segera ialah menghentikan pertambahan tuntutan yang masih belum dibayar serta mewujudkan mekanisme pengiraan dan pembayaran hak 40 peratus Sabah yang jelas dan telus.
“Belanjawan 2027 tidak boleh mengulangi corak peruntukan masa lalu, sebaliknya perlu menjadi permulaan kepada dasar pembangunan Persekutuan yang lebih adil,” katanya.

Jeffrey Kitingan menggesa Kerajaan Persekutuan menangani jurang pembangunan yang berlarutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.







-218x150.jpg)