Jangan abaikan tanda penyakit vaskular – Julita

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Rakyat Sabah, khususnya golongan berisiko, digesa menjalani saringan awal penyakit vaskular kerana sesetengah keadaan boleh berlaku tanpa gejala jelas sebelum menjadi serius atau mengancam nyawa.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pengesanan awal penting bagi membolehkan rawatan diberikan sebelum keadaan bertambah buruk.
Beliau berkata, antara tanda amaran yang tidak boleh diabaikan termasuk sakit atau kekejangan kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak dan luka yang lambat sembuh.
“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini.
Julita berkata, antara penyakit yang diberi perhatian menerusi kempen berkenaan ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), iaitu keadaan apabila bahagian dinding aorta yang lemah, salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh, membesar atau mengembung.
Katanya, AAA boleh berlaku tanpa gejala yang ketara, namun berisiko mengancam nyawa sekiranya aneurisma pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.
Kempen itu turut menyediakan saringan bagi mengesan AAA dan penyakit arteri periferi (PAD) sebagai usaha menggalakkan pengesanan serta rawatan awal.
Beliau berkata PAD berlaku apabila salur darah yang membekalkan anggota badan, terutama kaki, menjadi sempit atau tersumbat, dengan gejala termasuk sakit kaki ketika berjalan, kebas, kaki terasa sejuk, perubahan warna kulit dan luka yang lambat sembuh.
Sehubungan itu, Julita menggesa orang ramai mengurangkan risiko penyakit vaskular dengan berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dan kolesterol, mengekalkan berat badan sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta kekal aktif secara fizikal.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.
Turut hadir Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr Benjamin Leong Dak Keung.

Julita (tengah) mengunjungi salah satu reruai pameran sempena Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular, diiringi Dr Ferro (kiri) dan Dr Leong.