Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata suspek ditahan kira-kira jam 9.45 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, mangsa berada di sebuah rumah kedai sebelum terdengar bunyi seperti kucing.
“Seorang lelaki yang menutup muka kemudian tiba-tiba menyelak langsir sebelum menghampiri mangsa.
“Suspek dipercayai naik ke atas tilam tempat mangsa berada. Mangsa menjerit meminta pertolongan dan melawan ketika suspek cuba mendekatinya,” katanya.
Rosdi berkata, mangsa turut mendakwa ditendang suspek sebelum lelaki terbabit melarikan diri.
Suspek berusia lingkungan 40-an dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditahan di sekitar kawasan komersial di Kalabakan.
“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebuah rumah kayu dan stor terbuka musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Tinduk, Mile 19, Jalan Labuk, Sandakan, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan tiba di lokasi kira-kira jam 4.27 petang.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Hazmizan Maksit dengan kekuatan 14 anggota serta dibantu dua anggota polis.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah kayu dan stor terbuka terbakar dan kedua-duanya musnah 100 peratus.
Api berjaya dikawal pada jam 4.34 petang menggunakan satu aliran daripada dua pancutan air jentera bomba.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala kerja pemeriksaan dan pemantauan selesai pada jam 5.16 petang sebelum operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat.

OPERASI …. Anggota bomba Sandakan memadam kebakaran di Kampung Sungai Tinduk, Sandakan, Isnin lalu.




