Yayasan Petronas dekati komuniti sempena Kaamatan

KOTA BELUD: Ketika komuniti di seluruh Sabah bersama-sama meraikan Kaamatan, Yayasan Petronas menyantuni 200 isi rumah di Kota Belud menerusi program Memacu Kehidupan, mencerminkan semangat perayaan yang menekankan nilai kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan.

Majlis yang berlangsung di Kampung Piasau pada 24 Mei itu diadakan dalam suasana meriah sempena sambutan Kaamatan, selain menyaksikan penyampaian bantuan barangan makanan kepada penerima terpilih.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Dewan Undangan Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan kepada penerima, diiringi Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab.

“Kaamatan mengingatkan kita tentang pentingnya kesyukuran, perpaduan dan keprihatinan antara satu sama lain. Sumbangan seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada tradisi sambuan Kaamatan, di samping membantu meringankan persiapan keluarga untuk berkumpul bersama insan tersayang,” kata Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Siti Ayu berkata Kaamatan merupakan satu perayaan bermakna yang menghimpunkan komuniti dalam semangat perpaduan dan kesyukuran.

“Melalui program ini, Yayasan Petronas berharap dapat menyokong kesejahteraan keluarga serta meneruskan komitmen kami dalam membawa impak positif dan berkekalan kepada komuniti,” katanya.

Pek makanan tersebut akan diagihkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah secara berperingkat sepanjang bulan Kaamatan.

Setiap pek mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh, selain kuih-muih perayaan.

Salah seorang penerima, Noney Gondolos, 57, berkata sumbangan bakul makanan tersebut sedikit sebanyak membantu keluarganya membuat persiapan menyambut Kaamatan.

“Bagi saya, Kaamatan ialah perayaan yang menyatukan masyarakat. Semangat perpaduan dan kebersamaan perlu terus dipelihara,” kata ibu kepada dua anak dari Kampung Rangalau itu.

Sementara itu, Rulita Yasap, 57, berkata sambutan Kaamatan kini semakin meriah apabila kampung-kampung di sekitar kawasanya turut mengadakan perayaan masing-masing.

“Saya amat bersyukur atas sumbangan ini kerana ia membantu persiapan keluarga kami untuk menyambut Kaamatan,” kata ibu tunggal kepada tujuh orang anak dari Kampung Piasau Dimala itu.

Pada awal bulan ini, Petronas menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada 300 keluarga di Papar semasa majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan Petronas dalam menyokong kesejahteraan komuniti dan pembangunan sosioekonomi masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan daya tahan komuniti di seluruh negara.

SAMPAIKAN …. Ewon diiringi Siti Ayu menyampaikan sumbangan Yayasan Petronas kepada salah seorang penerima.