Oleh Wu Vuide
TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan kadar baharu di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kenaikan yang dialami pengguna adalah minimum dan tidak membebankan.
“Kita akan sentiasa memantau kesannya, namun saya percaya impaknya hanya kecil. Jika sebelum ini seseorang membayar RM100, kenaikannya hanya sekitar RM15.
“Jadi, ia tidak begitu membebankan jika tambahan RM15 itu dapat memastikan bekalan elektrik yang stabil. Itulah rasional di sebalik kenaikan tarif ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung di Taman Sawit Balung, di sini.
Beliau mengulas semakan tarif elektrik Sabah Electricity (SE) yang bermula 1 Februari 2026, melibatkan pelarasan kadar asas purata daripada 34.52 sen/kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.
Hajiji berkata, kadar baharu itu diluluskan oleh Kabinet Negeri selepas mengambil kira keperluan semasa di Sabah.
“Tarif elektrik di Sabah masih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia. Kita hanya menaikkannya sekitar lima sen atau 15 peratus, dan ia tidak membebankan rakyat biasa yang merangkumi kira-kira 70 hingga 80 peratus penduduk Sabah.
“Kenaikan ini tidak dapat dielakkan memandangkan kita kini menanggung kos yang tinggi atas pelbagai faktor. Ia perlu bagi membolehkan kita mengatasi cabaran berkenaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan ketika ini menyediakan subsidi elektrik kepada Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada subsidi ini selama-lamanya. Kenaikan kecil sekitar lima sen boleh membantu mengurangkan beban subsidi yang ditanggung Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Hajiji, Kabinet Negeri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selepas meneliti peningkatan kos operasi penjanaan tenaga di negeri ini.
Sementara itu, mengulas mengenai SAN Apas Balung, Hajiji berkata beliau kagum dengan usaha pembinaan sekolah tersebut yang berjaya disiapkan dalam tempoh hanya tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak.
Katanya, pembinaan itu merupakan permulaan kepada pembangunan sekolah berkenaan, yang akan disusuli dengan bantuan kerajaan bagi tujuan peluasan pada masa hadapan.
Beliau turut memuji inisiatif pengurusan sekolah yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), selari dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.
“Saya amat kagum. Ini adalah sekolah agama pertama yang menggunakan AI. Inilah era yang sedang kita hadapi, di mana teknologi semakin maju, bukan sahaja untuk sekolah biasa, malah sekolah agama juga,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyokong cadangan pengurusan sekolah untuk menubuhkan sekolah menengah agama bagi memastikan kesinambungan pendidikan agama kepada para pelajar.
“Ia satu cadangan yang sangat baik kerana kita percaya sekolah menengah agama perlu diperluas atau ditambah di Sabah, memandangkan permintaan masyarakat Islam terhadap pendidikan agama di peringkat menengah sangat tinggi.
“Perancangannya amat baik, bermula dengan sekolah menengah, dan mungkin pada masa depan sebuah universiti Islam dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib serta Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Menteri Pembangunan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

ALBUM: Hajiji bergambar bersama tetamu kehormat lain dan jawatankuasa SAN Apas Balung, Tawau.





