MAFFI gerak pegawai turun padang pantau kerosakan sektor pertanian akibat banjir

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan menggerakkan pegawai serta agensi di bawahnya untuk turun padang ke kawasan terjejas banjir di seluruh Sabah, termasuk Tenom, Nabawan, Sook, Tongod, Sipitang, Beaufort dan Pitas.
Langkah itu bertujuan memantau situasi semasa, menilai tahap kerosakan sektor pertanian serta menyelaras bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas.
Menterinya, Jamawi Jaafar berkata, pendekatan turun padang penting bagi memastikan maklumat berkaitan kerosakan tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian dapat dikumpulkan secara tepat serta menyeluruh.
Beliau menegaskan, usaha itu membolehkan proses penyaluran bantuan dan pelaksanaan langkah pemulihan dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Panglima Antanom dan Dewan SJKC Chung Hwa bagi meninjau keadaan mangsa banjir.
Menurutnya, lawatan itu turut memberi peluang untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan mangsa serta memahami keperluan mendesak mereka.
Katanya, kementerian turut bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat daerah bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan ternakan, benih tanaman dan sokongan teknikal dapat disalurkan segera ke kawasan terlibat, termasuk di Pantai Barat dan Pedalaman yang terkesan akibat cuaca tidak menentu.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan di kawasan pertanian bagi mengesan kerosakan lebih awal, sekali gus membolehkan pejabat pertanian daerah menyediakan bantuan bersasar serta mengelakkan kehilangan hasil yang lebih besar.
MAFFI turut menasihatkan pengusaha pertanian supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim tengkujuh. Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang kerosakan atau ancaman banjir kepada pejabat pertanian daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.
Jamawi menambah, Kerajaan Negeri komited memulihkan sektor pertanian di kawasan terjejas agar pengusaha, penternak dan nelayan dapat kembali beroperasi secepat mungkin, sekali gus mengurangkan impak ekonomi terhadap komuniti luar bandar yang bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan.
“Pendekatan kerjasama antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan adalah kunci dalam menghadapi musim tengkujuh. Semua pihak perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang amaran awal bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi penduduk luar bandar terjamin,” katanya.-JT.

TURUN PADANG …. Jamawi (kanan) menyantuni orang ramai dan kanak-kanak yang terjejas akibat banjir di PPS bagi DUN Melalap.