TVET punyai prospek kerjaya cerah masa kini – James Ratib

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi antara laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi negeri dan negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemahiran TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang kompeten, mengurangkan kadar pengangguran serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Justeru, masyarakat perlu melihat TVET sebagai satu laluan pendidikan yang bernilai dan mempunyai prospek kerjaya yang cerah pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah Ke-36 di The Magellan Sutera, di sini, pada Selasa.
Pada majlis itu, seramai 146 pelatih menerima sijil selepas berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
James berkata, landskap pekerjaan kini berubah dengan pantas sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0, automasi, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan ekonomi hijau.
Menurutnya, Sabah memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir yang memiliki kemahiran teknikal, kompetensi profesional serta mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara laluan utama dalam melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak industri masa kini dan masa hadapan.
“Graduan TVET mempunyai peluang luas untuk mendapatkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan, menjadi usahawan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1988 hingga tahun ini, ILTP JPSM telah melahirkan seramai 10,243 graduan, terdiri daripada 5,331 graduan bidang teknikal dan 4,912 graduan bidang perdagangan.
Katanya, kerajaan negeri komited memperkasa sektor TVET sebagai agenda strategik pembangunan modal insan menerusi usaha menaik taraf kemudahan pembelajaran, infrastruktur, peralatan latihan serta memperkenalkan program yang mempunyai nilai tambah selaras dengan keperluan industri.
“Kita tidak mahu melahirkan graduan yang hanya memiliki sijil semata-mata, sebaliknya graduan yang berkemahiran tinggi, kompeten, profesional, berdaya saing dan bertaraf global,” katanya.
James turut memaklumkan bahawa Majlis TVET Negeri Sabah yang dilancarkan pada 19 Mei 2025 menjadi platform penting dalam menyelaras hala tuju pembangunan TVET di negeri ini agar program yang ditawarkan sentiasa relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, ILTP JPSM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi latihan, industri serta agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), SPRM, IPDAS, PETRONAS, Energy Commission of Sabah (ECoS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan The Welding Institute (TWI).
Katanya, kerjasama erat itu mampu memastikan graduan TVET Sabah memiliki kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut menggesa graduan ILTP JPSM mengemas kini status alumni bagi memudahkan pihak pengurusan mengesan keberadaan dan tahap kebolehpasaran graduan, sekali gus memperoleh maklumat yang tepat untuk tujuan penambahbaikan program latihan.

TAHNIAH …. James menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen ILTP JPSM Sabah Ke-36 di The Magellan Sutera, Kota Kinabalu.