IDS beri penekanan kajian kelompok masyarakat terjejas kemiskinan

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) kini memberi penekanan terhadap kajian kemiskinan bagi mengenal pasti lokasi serta kelompok masyarakat yang paling terjejas dan memerlukan perhatian.
Pengerusi IDS, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata kajian berkenaan bukan sekadar meneliti kadar kemiskinan mengikut daerah, sebaliknya turut melaksanakan pemetaan sehingga ke peringkat kampung bagi mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan intervensi.
“Tidak semua kawasan dalam sesebuah daerah itu miskin. Ada tempat tertentu yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi.
“Sebab itu kita sedang membuat pemetaan supaya dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kampung dan kawasan yang memerlukan intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Media IDS 2026 di Hotel Hilton, di sini, malam Sabtu.
Menurut Azizah, pegawai dan penyelidik IDS turut turun padang ke beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Semporna bagi mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa daerah.
Katanya, beliau sendiri mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Semporna bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai lokasi serta isu kemiskinan di daerah berkenaan.
Azizah berkata, hasil kajian itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, selain mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan usaha menangani kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan berkesan.
“Kita mahu menunjukkan dengan jelas kawasan yang perlu diberikan perhatian supaya perancangan dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Beranilah bersuara, tetapi pastikan suara itu membawa kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan sekadar untuk berteriak,” katanya.

Azizah Mohd Dun