Safma perkukuh kerjasama dengan LKIM

KUANTAN: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma) mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan bagi meninjau operasi jeti pendaratan serta pengendalian hasil perikanan.
Lawatan itu diketuai Pengurus Besar Safma Burhan Japar bersama anggota lembaga pengarah dan pegawai syarikat serta disambut Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Pahang (Pernepa) Zalina Mohamed.
Safma dalam kenyataan berkata lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama serta bertukar pandangan dan pengalaman dalam pengurusan industri perikanan, khususnya aspek pendaratan, pengendalian dan pemasaran hasil laut.
Delegasi turut berpeluang menyaksikan proses pendaratan hasil tangkapan nelayan serta pengendalian ikan di jeti berkenaan.
Burhan berkata lawatan seperti itu penting bagi memberi pendedahan kepada Safma mengenai pendekatan dan kaedah pengurusan operasi yang dilaksanakan di LKIM Kuantan.
“Perkongsian pengalaman amat bernilai kerana setiap kawasan mempunyai pendekatan dan cabaran tersendiri dalam menguruskan industri perikanan.
“Melalui lawatan ini, kami dapat melihat operasi di lapangan, bertukar pandangan serta mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada industri dan komuniti nelayan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Zalina dan Pernepa atas layanan serta perkongsian maklumat sepanjang lawatan berkenaan.
Burhan berkata kerjasama antara Safma, persatuan nelayan dan agensi berkaitan perlu terus diperkukuh bagi memastikan sektor perikanan berkembang secara mampan, selain memberi manfaat kepada nelayan dan pengguna.

LAWATAN …. Delegasi Safma ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks LKIM Kuantan.