PBS tawar jentera pilihan raya kepada bekas ADUN STAR

Oleh Wu Vuide

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menawarkan untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tawaran itu dibuat susulan keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pemangku presiden telah mengarahkan bahagian-bahagian PBS di lima kawasan berkenaan — Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid — untuk memulakan perbincangan dengan wakil rakyat sedia ada iaitu Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng, yang kekal bersama GRS selepas STAR memutuskan untuk bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang.
“Lima kawasan ini merupakan antara kubu kuat PBS yang mempunyai jentera akar umbi yang kukuh dan aktif.
“PBS percaya dengan menggabungkan sumber dan bekerjasama di lapangan, GRS dapat mengekalkan momentumnya serta meraih keyakinan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS.
Menurutnya lagi, PBS sudah lama mengekalkan kerjasama baik dengan mereka di peringkat akar umbi dan akan terus memperkukuh hubungan itu dalam semangat perpaduan sejati GRS.
Beliau menegaskan sokongan PBS berpaksikan kepada kefahaman bahawa kerjasama dan kepercayaan antara parti komponen GRS amat penting bagi mengekalkan kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan rakyat terus dilaksanakan.
“Keputusan ini dibuat atas rasa tanggungjawab bersama untuk memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap GRS, serta meneruskan apa yang telah kita mulakan bersama demi kesejahteraan komuniti kita,” katanya.

SEMANGAT …. Dr Joachim bersama barisan pimpinan PBS menunjukkan semangat solidariti ketika mesyuarat berlangsung.