Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), melaksanakan Fasa 2 Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memperkukuh infrastruktur serta ketersambungan digital di seluruh negara, termasuk Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata komitmen itu amat dihargai, terutama dalam memperluas akses internet ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran liputan serta infrastruktur telekomunikasi.
Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan Jendela 2 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah projek atau pematuhan jadual semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kualiti, kestabilan dan kebolehpercayaan perkhidmatan internet yang diterima rakyat.
“Pengalaman lalu, khususnya berkaitan prestasi ketersambungan internet di sekolah-sekolah seluruh Sabah, perlu dijadikan pengajaran supaya kelemahan sama tidak berulang, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya
Menurutnya, ketersambungan internet yang stabil kini menjadi keperluan penting dalam sektor pendidikan bagi membolehkan guru dan murid mengakses pembelajaran digital, platform pendidikan serta pelbagai sumber dalam talian dengan berkesan.
“Sabah tidak akan berkompromi mengenai kualiti ketersambungan, khususnya di kawasan luar bandar. Apabila sesuatu projek disahkan siap, rakyat seharusnya dapat menikmati perkhidmatan yang benar-benar berfungsi dan memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, James menggesa MCMC memastikan syarikat atau Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang dilantik bagi melaksanakan Bahagian 2 Jendela 2 mempunyai keupayaan teknikal, kapasiti operasi dan rekod prestasi yang terbukti.
“Kami mahu MNO yang dilantik bukan sahaja mampu menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, malah menyediakan ketersambungan yang baik dan konsisten selepas projek siap,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Jendela 2 di Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah menara yang dibina atau kawasan yang diklasifikasikan mempunyai liputan semata-mata.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada penduduk di kawasan berkenaan benar-benar dapat mengakses internet secara berkesan, konsisten dan boleh dipercayai dalam kehidupan seharian,” katanya.
James turut menegaskan Kerajaan Negeri menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan dan MCMC dalam usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Kami mengalu-alukan pelaksanaan Jendela 2 dan bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta MCMC. Pada masa sama, kepentingan rakyat Sabah perlu diberi pertimbangan sewajarnya, khususnya dari segi kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan internet.
“Sabah mahu Jendela 2 bukan sahaja disiapkan mengikut jadual, tetapi benar-benar memberikan ketersambungan berkualiti dan bermakna kepada rakyat,” katanya.

James Ratib



