Belanjawan Sabah 2027 janjikan manfaat kepada rakyat – Hajiji

Oleh Wu Vuide

KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2027 yang akan dibentangkan pada 4 Disember ini dijangka menjadi belanjawan yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sehingga belanjawan itu dibentangkan, namun ingin menegaskan bahawa ia merupakan belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.
“Belanjawan itu akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sabah, termasuk isu bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada sambutan Deepavali di sebuah hotel di sini.
Mengulas mengenai sambutan Deepavali, Hajiji berharap perayaan itu membawa cahaya dan keberkatan bukan sahaja kepada masyarakat India, malah seluruh komuniti di Sabah.
“Inilah semangat sebenar Malaysia yang ingin kita lihat, iaitu masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama meraikan perayaan tanpa mengira latar belakang.
“Mari kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama,” katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama isterinya, Datin Seri Juliah Salag, menyempurnakan upacara memotong kek dengan diiringi Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (SICC), Datuk V. Jothi serta tetamu kenamaan lain.
Hajiji kemudian menyampaikan sumbangan daripada SICC kepada Persatuan Orang Buta Sabah (Sabah Society for the Blind) dan Jireh Home di Tuaran.
Sambutan Pesta Cahaya itu dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan India Sabah (SICC) dengan kehadiran lebih 1,400 tetamu.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Masidi Manjun, menteri-menteri Kabinet Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, wakil-wakil rakyat serta pemimpin pelbagai komuniti.

Hajiji diiringi Jothi (kanan) ketika beramah mesra dengan orang ramai pada sambutan Deepavali.