KIULU: Sumbangan golongan belia dalam pembangunan komuniti, khususnya dalam pelancongan dan keusahawanan agro, mendapat pengiktirafan menerusi anugerah khas yang diperkenalkan buat pertama kali.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai sempena program Santai Pitimungan Belia Kiulu di Dewan Terbuka Pelancongan Ekologi Pulou Kelapa, Kampung Malanggang Lama.
Tiga belia menerima anugerah masing-masing: Juanson Moidin (Usahawan Pelancongan Belia – Kg. Pahu), Charlie Gumbolog (Usahawan Agro-Pertanian Belia – Kg. Taginambur), dan Dell Darion Victor (Usahawan Agro-Perikanan Belia – Kg. Rugading).
Program anjuran Kelab Belia Prihatin Kiulu (KBPK) bersama Persatuan Pelancongan Kiulu ini dihadiri lebih 500 peserta, dengan sokongan Pejabat ADUN Kiulu.
Pengerusi KBPK, Elsheera Alfred Yapat berkata program ini menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembinaan jati diri serta sumbangan kepada masyarakat.
Joniston turut mencadangkan pelaksanaan program Idea Pitch Mini bagi memberi peluang belia membentangkan idea perniagaan atau projek komuniti, dengan sokongan dana permulaan.
Beliau turut menyampaikan insentif kepada dua bekas pelajar SMK Tun Fuad Stephens atas pencapaian sukan, serta 17 pelajar STPM cemerlang sebagai penghargaan akademik.
Program turut menampilkan pertandingan rekaan busana tradisional, persembahan muzik, jualan hasil tempatan, serta sesi maklumat pembiayaan untuk usahawan muda.





