Harus matang menilai, jangan panik – Keadilan Sabah

KOTA KINABALU: Liputan media yang melaporkan kenyataan Pengerusi MPN Keadilan Sabah, Datuk Mustapha sebenarnya berdasarkan respon kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi, pada 14 Ogos lepas.
Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, Mustapha dalam responnya hanya menyatakan kegusaran beliau kepada pandangan tersebut dan bukannya meletakkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti dalam kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang
Katanya, fakta utama yang dinyatakan tapi gagal difahami ialah bagaimana komitmen Keadilan Sabah dalam memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kerjasama baik antara Pakatan Harapan (PH) dan GRS yang perlu dipertahankan dan bukannya mencabar Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Farid berkata, pimpinan GRS sepatutnya bersyukur dengan komitmen Perdana Menteri dan PH Sabah yang telah menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada bertukar disebabkan Langkah Kinabalu sebelum ini
Katanya, Keadilan Sabah amat menghormati kepimpinan Ketua Menteri dan menghargai kerjasama baik antara GRS – PH, namun janganlah pandangan kami disalaherti hanya kerana laporan media yang kadangkala tidak menggambarkan intipati suara hati sebenar.
“Keadilan Sabah juga menggesa agar perundingan kerusi dapat dimuktamadkan segera dengan adil dan strategik. Pendekatan berunding mestilah bersama pimpinan PH Sabah dan bukannya dengan parti-parti komponen saja,” katanya.-JT

Ahmad Farid Sainuri