TAMBUNAN: Penantian lebih dua dekad penduduk Kampung Mangkatai dan beberapa kampung berhampiran untuk menikmati jalan raya berturap kini hampir berakhir apabila projek naik taraf jalan utama kampung itu telah mencapai 80 peratus siap.
Ahli Parlimen P.180 Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, telah mengadakan lawatan ke tapak projek bagi meninjau sendiri kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan.
Projek bernilai RM29 juta itu melibatkan kerja menaiktaraf jalan gravel kepada jalan berturap aspal sepanjang 4.8 kilometer, yang dijangka siap sepenuhnya pada 28 Ogos 2026.
Menurut Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tambunan, Daniel Leonard, kemajuan fizikal projek kini berada pada tahap 80 peratus dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Projek tersebut dilaksanakan oleh Kenari Express Sdn. Bhd.
Dr. Jeffrey berkata beliau berasa gembira melihat perkembangan projek yang telah lama dinantikan oleh penduduk Kampung Mangkatai serta kampung-kampung sekitar yang selama hampir 20 tahun berdepan kesukaran menggunakan laluan berstatus jalan gravel.
Beliau berkata usaha merealisasikan projek berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan tempoh yang panjang untuk mendapatkan peruntukan serta melalui pelbagai proses perancangan dan kelulusan.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan projek itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk usaha berterusan Nicholas Denis, mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mangkatai, yang telah mengemukakan permohonan dan memperjuangkan keperluan pengaspalan jalan tersebut bersama JKR Daerah Tambunan.
Katanya, apabila siap kelak, jalan raya itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dalam memudahkan urusan harian, meningkatkan akses kepada kemudahan asas, mempercepat pengangkutan hasil pertanian dan merangsang aktiviti ekonomi luar bandar.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pegawai Pembangunan Khas P.180 Keningau dan ADUN N.39 Tambunan, Saldvilla Wences, serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.39 Tambunan, Jinus Taguah.
Bagi penduduk Mangkatai dan kawasan sekitarnya, projek tersebut bukan sekadar pembinaan jalan baharu, tetapi simbol kepada penantian selama 20 tahun yang akhirnya diterjemahkan menjadi pembangunan yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.-John Tambanan.

TINJAU …. Dr Jeffrey tinjau projek naik taraf Jalan Kampung Mangkatai.




