Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam operasi di daerah ini, pada Jumaat.
Dalam operasi berkenaan, polis turut berjaya merampas 54.62 gram ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
Katanya, hasil serbuan, seorang lelaki berusia 29 tahun diberkas bersama dadah jenis ketamin yang dianggarkan bernilai RM8,193 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabiol.
“Suspek terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Jumaat.
Sammy berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 12 sebatan.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama yang membawa hukumam denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan najis dadah dan segera melaporkan kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat berakitan jenayah atau aktiviti dadah boleh disalurkan dengan menghubungi 999 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya

DITAHAN …. Pengedar dadah ditahan bersama dadah jenis ketamin yang dianggarkan bernilai RM8,193.






