Terlibat aktiviti kartel tipuan bida, salahgunakan kedudukan
Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 268 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, sejumlah 26 perusahaan yang terbukti melanggar Seksyen 4 Akta 712 kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida telah dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97.31 juta.
Dalam hal ini, katanya keputusan pelanggaran oleh kartel tipuan bida tersebut ada disiarkan di laman web Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan saluran media secara meluas yang mana ia boleh dijadikan rujukan kementerian dan agensi kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertimbangkan dan menguruskan perolehan kerajaan.
“MyCC juga mengalu-alukan kerjasama lanjut dengan kementerian dan agensi kerajaan dalam menjalankan advokasi untuk memberi kesedaran tentang isu kartel tipuan bida dalam perolehan awam.
“Pada masa ini, CIDB juga merupakan antara rakan strategik MyCC dalam memerangi isu kartel tipuan bida,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan dan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perbahasan Racangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK13) pada persidangan Parlimen di sini.
Armizan berkata, bagi memastikan keteraturan pemilihan pembekal dan kontraktor bagi perolehan kerajaan, Kementerian Kewangan telah menyediakan panduan dan rujukan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan melalui Pekeliling-Pekeliling Perbendaharaan Perolehan kerajaan.
“Pekeliling Perolehan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan iaitu PK1.6: Integriti Dalam Perolehan Kerajaan,” katanya.
Armizan berkata, pelaksanaan Integrity Pact (sejak 1 Jun 2022) iaitu pemberitahuan kendiri oleh syarikat atau pembida atau perisytiharan non-collusion untuk tidak menawar atau memberi rasuah sebagai dorongan mendapatkan sesuatu kontrak atau bagi mempercepatkan sesuatu urusan perolehan Kerajaan, atau terlibat dengan pakatan tipuan bida.
Katanya, akuan atau perjanjian tersebut juga menggariskan tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran iaitu syarikat berkenaan boleh dikeluarkan atau dikecualikan dari proses penilaian tender.
Selain itu, katanya dalam Surat Setuju Terima juga mempunyai perakuan daripada pembida yang berjaya untuk tidak terlibat dengan sebarang unsur suapan dan tipuan bida.
“Ini adalah seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perolehan iaitu PK4.2: Surat Setuju Terima, Pesanan Kerajaan dan Inden Kerajaan bagi Perolehan Kerajaan. Pekeliling ini telah berkuat kuasa mulai 1 September 2017.
“Jika pembida yang berjaya didapati melanggar Akta 712, tawaran tender yang dimenangi boleh dibatalkan atau ditarik balik,” katanya.







