Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 208 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi 26 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri.
Operasi selama tiga hari bermula 30 Jun lalu itu dilaksanakan di beberapa kawasan strategik dan tumpuan warga asing termasuk Pusat Hiburan, Pasar Besar Kota Kinabalu, Pekan Inanam dan beberapa penempatan setinggan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah menegaskan, semua operasi berkenaan dilaksanakan bagi mempergiatkan operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri Sabah.
Katanya, ia dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta bagi mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Hasil pemeriksaan terhadap 1,187 orang, seramai 208 PATI ditangkap terdiri daripada warganegara Filipina yang melibatkan 53 lelaki, 72 wanita dan 39 kanak-kanak.
“Pasukan operasi turut berjaya menahan 15 lelaki dan 15 wanita warga Indonesia, lima warga Pakistan dan enam lelaki warga China serta tiga lelaki warga India,”katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri.
Katanya, orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Orang ramai juga disarankan agar melaporkan sebarang kegiatan PATI menerusi saluran rasmi JIM Sabah untuk tindakan penguatkuasaan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi laman portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my,” katanya.




Operasi penguatkuasaan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik dan tumpuan warga asing





