BELURAN: Seorang lelaki warga Indonesia rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bayu Permai, di sini, pada Khamis.
Komander Operasi, PBK I Mohamed Arsad Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 pagi.
Bagaimanapun, katanya, jentera bomba berdepan kesukaran untuk memasuki lokasi kejadian berikutan ketiadaan jalan akses yang sesuai ke kawasan berkenaan, yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran.
“Pasukan bomba hanya tiba di lokasi pada jam 10.28 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu dua tingkat yang musnah sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sebuah pam mudah alih dengan satu aliran hos sepanjang 200 kaki serta dua pancutan air yang mendapatkan bekalan daripada sumber air terbuka iaitu kolam berhampiran.
Menurutnya, ketika operasi dijalankan, pasukan bomba menemui seorang mangsa lelaki berusia 49 tahun dalam keadaan rentung.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohamed Arsad berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari sebelum operasi ditamatkan 10 minit kemudian selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi membabitkan enam anggota BBP Beluran dengan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Tenaga (ST).

Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Bayu Permai, Beluran, pada Khamis.






