PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM30,000 di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Cement Industries Sabah Sdn. Bhd. (CIS) kepada Kelab Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata sumbangan daripada anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) itu merupakan tanda penghargaan kepada guru-guru serta seluruh warga sekolah di Penampang atas kejayaan daerah itu muncul sebagai daerah terbaik di Sabah berdasarkan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia 2025 (SPM) 2025.
“Pada April lalu, saya telah menyatakan komitmen untuk menyediakan dana kepada PPD Penampang sebagai penghargaan kepada guru-guru dan seluruh warga sekolah di Penampang atas pencapaian menjadi daerah terbaik di Sabah dalam prestasi SPM 2025.
“Dana ini akan digunakan bagi menganjurkan beberapa inisiatif oleh PPD Penampang, termasuk majlis apresiasi dan perkhidmatan cemerlang.
“Bagi pihak rakyat Penampang, saya mengucapkan terima kasih kepada PPD, semua pengetua dan guru besar, guru-guru, kakitangan sekolah serta seluruh warga sekolah di Penampang atas komitmen dan dedikasi dalam pembangunan modal insan negara,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di pejabat PPD Penampang.
Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang, turut merakamkan penghargaan kepada CIS atas sumbangan CSR berkenaan dan berharap lebih banyak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan inisiatif seumpamanya bagi menyokong pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, kerjasama antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pendidikan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kecemerlangan pendidikan di Sabah dapat dipertingkatkan.
Sebelum ini, Ewon turut menyampaikan sumbangan CSR CIS kepada beberapa organisasi di Kota Belud, iaitu Persatuan Permuafakatan Tadika Swasta Kota Belud (RM50,000), Kelab Kebajikan Kadamaian (RM40,000) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tengkurus (RM20,000).
Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat di Sabah.

Ewon menyampaikan sumbangan dana CSR CIS berjumlah RM30,000 kepada Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Haji Rusmadi Ahmad, bagi pihak Kelab PPD Penampang.



