Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Sabah Electricity memberi jaminan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang pekerja kontraktor, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, mangsa berusia 30 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian ketika melakukan kerja menukar tiang elektrik berhampiran simpang lampu isyarat Taman Mawar, di sini.
Sabah Electricity dalam kenyataannya menegaskan, semua kerja-kerja berkaitan di lokasi berkenaan sudah dihentikan sementara waktu sehingga siasatan selesai.
Katanya, insiden berkenaan turut menyebabkan seorang lagi pekerja mengalami kecederaan, namun kini dilaporkan sudah berada dalam keadaan stabil.
“Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta simpati kepada pekerja yang cedera.
“Kami memandang serius kejadian ini dan akan memastikan aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak termasuk pekerja kontraktor dalam setiap aktiviti kerja dan operasi,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa ditemukan masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya terpaksa menjalankan operasi menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity.
“Mangsa berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


MAUT … Pasukan bomba menemukan mangsa masih berada di atas tiang elektrik sebelum operasi membawa turun mangsa dilakukan.






