Qurban Perdana Kalabakan kukuh silaturahim masyarakat setempat

TAWAU: Program Qurban Perdana Parlimen Kalabakan terus mencipta sejarah apabila memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan penyertaan memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Sebanyak 17 ekor lembu korban telah disumbangkan kepada kampung-kampung terpilih melalui kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta agensi-agensi beruniform di sekitar Parlimen Kalabakan.
Program ini dikendalikan dengan kerjasama erat antara Pusat Khidmat Parlimen Kalabakan dan UPPM Tanjung Batu.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, penganjuran program ini adalah sebagai platform untuk memperkukuh silaturahim dan kesatuan masyarakat.
Katanya, lebih 200 orang hadir dalam program kali ini yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kalabakan.
“Alhamdulillah, saya lihat pada tahun kedua ini kerjasama antara semua pihak sangat baik dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.
“Kehadiran yang ramai ini adalah petanda yang cukup positif dalam usaha kita untuk menyatukan masyarakat khususnya di Parlimen Kalabakan.
“Penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk pasukan beruniform dan pemimpin masyarakat mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi,” katanya ketika ditemui media, di sini, pada Sabtu.
Suryady turut menekankan bahawa sambutan Aidiladha kali ini walaupun disambut secara sederhana, namun tetap meriah dan penuh penghayatan.
Beliau menyeru agar masyarakat mengambil iktibar daripada maksud sebenar pengorbanan yang disimbolkan dalam ibadah korban.
“Bukan sekadar menyembelih lembu, tetapi makna korban itu sendiri melambangkan kesanggupan kita untuk berkorban demi masyarakat, agama dan negara. Ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas dan mendalam,” katanya
Beliau menyatakan hasrat untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini pada tahun hadapan dan berharap ia terus mendapat sokongan padu dari segenap lapisan masyarakat.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Batu, Datuk Saharuddin Salleh dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.

SERAH …. Suryady ketika hadir bergotong-royong dan menyerahkan daging lembu korban kepada masyarakat setempat.