LABUAN: Pelajar Program Pemasaran Antarabangsa daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berjaya merealisasikan Projek EcoKilan menerusi inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM), baru-baru ini.
Projek bertemakan kelestarian alam itu dilaksanakan selama empat bulan bermula Oktober 2025 hingga Januari 2026 bagi memenuhi keperluan kursus GT10803 Etika Perniagaan di bawah seliaan Dr. Nazarina Jamil. Inisiatif berkenaan memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti Kampung Kilan melalui aplikasi praktikal prinsip etika perniagaan dalam usaha memelihara alam sekitar.
Sepanjang pelaksanaan projek, para pelajar berjaya membangunkan sebuah taman lestari berasaskan penggunaan bahan terpakai serta sebuah rumah hijau unik yang dibina menggunakan sumber buluh tempatan.
Antara tarikan utama ialah penghasilan baja kompos yang diinovasikan daripada sisa ikan bilis, sekali gus memberi nilai tambah kepada sisa industri tempatan dan menyokong konsep ekonomi kitaran.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Jabatan Pertanian WP Labuan yang menyediakan khidmat nasihat teknikal, selain sokongan Ikan Bilis Sabarang Sungai Sdn. Bhd. serta penduduk Kampung Kilan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Program Pemasaran Antarabangsa, Dr. Wong Ling Chai, mewakili Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal. Beliau memuji komitmen dan kesungguhan pelajar dalam menjayakan pembelajaran berasaskan komuniti yang memberi impak langsung kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, projek seumpama ini bukan sahaja membawa manfaat fizikal kepada kampung terlibat, malah membentuk graduan yang lebih prihatin, beretika serta bertanggungjawab terhadap isu sosial dan kelestarian.
Sijil penghargaan turut disampaikan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian WP Labuan, Zaimi Abu Bakar, atas khidmat nasihat teknikal yang diberikan bagi penubuhan taman lestari tersebut.
Turut menerima sijil ialah Jainih Sohaib daripada Ikan Bilis Sabarang Sungai Enterprise atas sumbangan dalam memperkukuh kelestarian ekonomi dan alam sekitar setempat.
Hadir sama Ketua Program Kewangan Antarabangsa FKAL, Dr. Siti Nuraqilah Ab Wahab; Penyelaras dan Pensyarah kursus GT10803, Dr. Nazarina Jamil; Pengerusi KRT Kampung Kilan, Anjam Ucho; serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Kerjasama erat bersama Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) dan Ketua Kampung Kilan, Haji Mohammad Hassan Haji Kapal, memastikan impak Projek EcoKilan yang diketuai Muhammad Mirza Maideen dapat dirasai secara langsung oleh penduduk setempat.
Kejayaan projek SULAM ini sekali gus membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh jaringan universiti dan komuniti melalui pelaksanaan inovasi hijau yang praktikal dan mampan.

KENANGAN ….Dari kiri: Muhammad Mirza, Zaimi, Dr. Siti Nuraqilah, Dr. Wong, Haji Mohammad Hassan, Dr. Nazarina dan Anjam bersama pelajar FKAL pada Majlis Perasmian Projek EcoKilan.






