Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM16.88 juta menerusi enam siri operasi penguatkuasaan di sekitar negeri ini.
Semua barangan berkenaan dirampas hasil pelaksanaan Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 yang dilaksanakan bermula 22 hingga 27 Oktober lalu, melibatkan serbuan di kawasan Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil operasi berkenaan, pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan bernilai lebih RM675,000 dirampas.
Katanya, operasi bersepadu itu turut berjaya menahan tiga individu serta merampas pelbagai barangan penyeludupan tidak bercukai kastam bernilai RM14.95 juta.
“Pasukan operasi turut berjaya menyita kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.25 juta yang dikenalpasti digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Kejayaan ini jelas memperlihatkan keberkesanan tindakan risikan dan penguatkuasaan dalam pengesanan serta membanteras aktiviti penyimpanan dan pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kejayaan enam siri operasi Op Taring Alpha 2 dan Alpha 5 di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, bagi kes membabitkan minuman keras tidak bercukai kastam, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, katanya, rampasan produk makanan, kesihatan dan kosmetik pula akan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, khususnya KKM dan DVS, untuk pemeriksaan, pengesahan, analisis serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik WCB/PSK Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kota Kinabalu, IPD Tuaran dan IPD Penampang, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, KKM, DVS serta KPDN.
Menurutnya, perkongsian maklumat risikan, penyelarasan operasi dan penggemblengan kepakaran antara agensi merupakan elemen penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

RAMPASAN ….. Mohd Yusri menunjukkan sebahagian daripada barangan seludup yang berjaya dirampas hasil operasi berkenaan.







