JIM usir 140 warga Indonesia

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya dihantar dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.
Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 96 lelaki dan 30 wanita.
Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 14 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah termasuk bayi yang turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing.
“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Semua terlibat turut mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media.
SH Sitti Saleha berkata, setakat ini, seramai 1,769 orang tahanan PATI warganegara Indonesia, 4,003 warganegera Filipina, 132 warganegara Pakistan, 139 warganegara China dan 25 warganegara Vietnam telah dihantar pulang.
Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang ke negara asal ialah seramai 5,951 orang.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah menyeru kepada semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti, tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
“Masyarakat juga digesa agar segera melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Sebahagian PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal.