Media sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat

Oleh WU VUIDE

KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting sebagai penghubung strategik antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan maklumat secara berkesan.
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Lucy Irene Yong, berkata pihaknya menghargai peranan media yang bukan sahaja menjelaskan dasar kerajaan dengan jelas, malah menjadi saluran menyuarakan aspirasi rakyat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian ketika majlis Hari Raya Ketua Menteri, Hajiji Noor, bersama pengamal media di sebuah hotel, di sini.
Menurutnya, dalam landskap media masa kini yang menuntut kepantasan, aspek ketepatan tidak boleh dikompromi.
“Dalam era lambakan maklumat, komunikasi yang berkesan bergantung kepada penyebaran berita yang sahih dan disahkan, sekali gus menjadi rujukan utama kepada masyarakat dalam membentuk pemahaman yang tepat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Pejabat Media dan Komunikasi akan terus komited memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan Kerajaan Negeri serta Ketua Menteri disalurkan kepada media dengan pantas dan tepat untuk disebarkan melalui pelbagai platform.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Isnin Aliasnih, Pengarah Yayasan Sabah, Ghulam Khan Bahadar, serta ketua-ketua jabatan.

KENANGAN …. Hajiji meraikan sambutan Hari Raya bersama warga media.