Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan pemasangan pelekat khas kod QR Takwim Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di lokasi tumpuan awam seluruh negara mulai 1 Oktober ini bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat jadual jualan berhampiran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelekat berkenaan akan dipasang di kawasan perumahan awam, pasar awam, pasar tani, tamu, dewan dan pusat komuniti, terminal pengangkutan awam, rumah ibadat serta premis perniagaan.
Katanya, pemasangan pelekat itu tertakluk kepada permintaan dan persetujuan pihak pengurusan atau pemilik premis.
“Melalui imbasan kod QR, orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM bagi menyemak tarikh dan lokasi penganjuran berhampiran kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar, di sini.
Armizan berkata, KPDN komited memperkukuh pelaksanaan PJRM sebagai antara intervensi kerajaan membantu rakyat menangani kos sara hidup, termasuk berharap peruntukan program itu dapat ditingkatkan dalam Belanjawan 2027.
Katanya, menerusi PJRM, barangan keperluan harian ditawarkan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Di bawah Kerajaan MADANI, PJRM menjadi inisiatif tetap dan bukan sekadar program jualan murah bermusim, sebaliknya terus diperkasakan sebagai ikhtiar kos sara hidup yang terancang, berterusan dan mudah diakses rakyat,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu bermula sebagai program jualan murah di bawah agenda Payung RAHMAH pada 2023 sebelum diperkasakan sebagai program tetap dengan peruntukan khusus mulai 2024, susulan sambutan positif rakyat.
Katanya, pelaksanaan PJRM turut diperkukuh menerusi lima pendekatan, termasuk menetapkan sasaran tahunan dan bulanan serta kekerapan penganjuran mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan zon Wilayah Persekutuan (WP).
“PJRM dilaksanakan setiap bulan di seluruh negara, meliputi 600 DUN dan 40 zon WP, dengan sasaran minimum tiga kali sebulan bagi setiap kawasan,” katanya.
Berbeza dengan program jualan murah terdahulu yang dilaksanakan secara ad hoc, PJRM kini mempunyai jadual dan sasaran kekerapan khusus.
Selain itu, KPDN membuka ruang kepada syarikat peruncitan, perniagaan dan koperasi untuk menjadi rakan strategik, tertakluk kepada kriteria ditetapkan bagi memastikan kepelbagaian barangan ditawarkan pada harga berpatutan.
Sehingga 23 September lalu, seramai 3,000 rakan strategik peruncitan menyertai pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
Armizan berkata, pelaksanaan program itu turut diperluas melalui kaedah jualan dalam premis, luar premis secara statik dan bergerak, selain penganjuran bertema sempena musim perayaan, hari gaji dan pembukaan sekolah, termasuk di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.
Katanya, Takwim PJRM yang diperkenalkan pada 2025 pula membolehkan rakyat merancang pembelian lebih awal berdasarkan maklumat tarikh, masa dan lokasi penganjuran.
Dari Januari 2023 hingga 23 September 2026, PJRM merekodkan sebanyak 81,455,623 transaksi.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9,244,504 transaksi direkodkan pada 2023, meningkat kepada 12,826,708 pada 2024, sebelum melonjak kepada 27,534,770 pada 2025 dan 31,849,641 bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September 2026.
Orang ramai boleh menyemak Takwim PJRM menerusi laman sesawang https://pjrm.kpdn.gov.my atau aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Armizan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar.









