Michael Malanjun ketuai lebih 100 bekas ahli STAR sertai PGRS

Oleh JOHN TAMBANAN


PENAMPANG: Pengerusi Majlis Wira Emas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Michael Malanjun mengetuai lebih 100 bekas ahli parti itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Turut menyertai PGRS ialah Ahli Majlis Tertinggi STAR, Freddy Ekol dan James Kenson.
Borang keahlian diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun dalam satu pertemuan di ITCC Penampang.
Michael berkata keputusan menyertai PGRS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat bagi meneruskan perjuangan politiknya untuk Sabah serta terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Perjuangan saya selama ini adalah untuk Sabah dan saya masih mahu menyumbang. Saya melihat GRS sebagai wadah untuk saya meneruskan perjuangan itu dan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu Sabah dan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata gaya kepimpinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, turut menjadi antara faktor yang mendorongnya menyertai PGRS.
“Saya suka gaya kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji. Saya percaya masih banyak yang boleh saya sumbangkan dan saya mahu memainkan peranan, setakat yang saya mampu, untuk membantu Sabah bergerak ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Mandela mengalu-alukan penyertaan Michael, Freddy, James dan rakan-rakan mereka, sambil berkata pengalaman politik yang dimiliki setiap individu boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat dan Sabah.
Menurutnya, GRS perlu terus menjadi wadah terbuka kepada semua pihak, termasuk golongan profesional, ahli perniagaan, anak muda dan pemimpin masyarakat yang mahu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Kita mungkin datang daripada parti, latar belakang dan perjalanan yang berbeza. Itu tidak seharusnya menghalang kita daripada bekerjasama apabila matlamatnya sama, iaitu mahu melihat Sabah maju dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik,” katanya.
Mandela turut menegaskan bahawa penyertaan dalam parti perlu disusuli dengan tanggungjawab dan kerja di lapangan, bukannya sekadar pertambahan jumlah keahlian.
“Bagi saya, yang penting bukan berapa ramai yang masuk parti pada satu-satu hari. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas itu.
“Kita mahu ahli-ahli kita turun ke lapangan, dengar denyutan masyarakat dan bantu apa yang kita boleh laksanakan.
“Politik sepatutnya akhirnya membawa kepada satu perkara yang mudah: bagaimana kita boleh menyumbang kepada rakyat dan kepada Sabah,” katanya.
Majlis penyerahan borang keahlian itu turut disaksikan Ahli Majlis Tertinggi PGRS, Datuk John Ambrose.
Turut hadir Naib Ketua Bahagian PGRS Penampang, Datuk Aminah Ambrose; Setiausaha Bahagian, Daniel Edmund; Bendahari, Salis Dingon dan Ketua Penerangan, Petrus C. Mojuntin.

Kapsyen foto: Freddy Ekol mewakili bekas ahli STAR menyerahkan borang keahlian PGRS kepada Ceasar Mandela Malakun, disaksikan John Ambrose dan Aminah Ambrose.