Empat maut dalam kemalangan lima kenderaan

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Empat lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Sepanggar, berhampiran Taman Jaya Diri, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an menaiki sebuah Perodua Viva yang dipercayai bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berusia 23 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori Isuzu NPR serta sebuah Perodua Aruz.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terdorong ke hadapan sebelum melanggar dua lagi kenderaan, iaitu sebuah van Nissan Urvan dan Proton X50.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan kesemua mangsa tersepit di dalam Perodua Viva berkenaan.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas.
“Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Syed Lot meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston menerusi talian 016-3130153 atau dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

BANTU… Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan selepas kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Sepanggar.