Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Isu perkauman tidak wajar dipolitikkan sebaliknya perlu ditangani melalui pembinaan persefahaman antara komuniti berbilang kaum demi pembangunan dan kestabilan Sabah.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata masyarakat perlu melihat isu berkenaan secara lebih matang, rasional serta berpandangan jauh.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali yang menjelaskan bahawa komuniti Cina tidak menolak gabungan pemerintah dan sekutunya, namun GRS tidak bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina.
Dexter turut merujuk kepada kenyataan Armizan mengenai kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh pelbagai pemimpin negeri dan nasional berhubung jumlah wakil rakyat Cina yang relatif rendah dalam kerajaan negeri.
Sehubungan itu, katanya, MCCC Sabah bercadang mengemukakan cadangan kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, cadangan tersebut bertujuan mengguna pakai pendekatan yang lebih sistematik dan berinstitusi bagi memperkukuh pemahaman belia bukan Cina terhadap budaya, latar belakang sejarah serta cara berfikir masyarakat Cina.
“Pendekatan ini diharapkan bukan sahaja dapat membantu menangani kemungkinan kekurangan wakil rakyat Cina pada masa hadapan, malah secara berperingkat membentuk generasi baharu yang memiliki perspektif majmuk dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Dexter Lau






