Keprihatinan rakan alumni ringankan beban waris di saat kehilangan

KENINGAU: Di saat sebuah keluarga masih bergelut menerima hakikat kehilangan insan tersayang, kehadiran sahabat lama yang datang membawa doa, sokongan dan ingatan menjadi sinar kecil yang menguatkan langkah untuk meneruskan kehidupan.
Semangat kebersamaan itu dizahirkan apabila wakil Alumni 70-an Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad Keningau menziarahi salah seorang ahlinya, Rojina Anjun, di Kampung Labak, Apin-Apin, Bingkor, susulan pemergian ibunya, mendiang Aun Mitang, yang meninggal dunia.
Pada kunjungan itu, sumbangan khairat kematian disampaikan oleh Bendahari Alumni 70-an SMK Gunsanad, Sinari Jalumin, sebagai tanda simpati dan sokongan kepada keluarga yang sedang berduka.
Turut hadir mengiringi ziarah tersebut ialah Jakol Wong Langkab dan Nikualous, sekali gus melambangkan ikatan persahabatan yang terus utuh meskipun puluhan tahun telah berlalu sejak meninggalkan alam persekolahan.
Bagi keluarga mendiang, kehadiran rakan-rakan alumni bukan diukur pada nilai sumbangan yang diterima, sebaliknya menjadi bukti bahawa dalam saat paling sukar, masih ada insan yang memilih untuk hadir, berkongsi beban dan menghulurkan kekuatan.
Sesungguhnya, persahabatan yang dibina sejak di bangku sekolah tidak berakhir bersama tamatnya persekolahan. Seperti akar yang terus mencengkam bumi walau pokok diuji ribut, nilai keprihatinan akan sentiasa menemukan manusia pada waktu yang paling memerlukan.-John Tambanan.

ZIARAH KASIH – Sinari (dua kiri) bersama Jakol (kanan) dan Nikualous (kiri) hadir menyantuni sambil menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada keluarga mendiang Aun Mitang.