Oleh JAMES LEONG
LAHAD DATU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan kecekapan operasi apabila berjaya mengawal dua kebakaran rumah yang berlaku hampir serentak di daerah Lahad Datu dan Kunak pada Selasa.
Menurut maklumat dari Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, insiden pertama di Kampung Air, Jalan Segama, Lahad Datu dilaporkan pada jam 7.03 malam melalui MERS999.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi dalam masa 18 minit dan mendapati sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya.
Komander Operasi, PBK I Mohd Suait Mohammad berkata, “Pasukan kami bertindak pantas dengan menggunakan kaedah serangan ‘Offensive’ dan ‘Defensive’ menerusi empat pancutan air.”
“Kami menggunakan sumber air dari jentera bomba serta sungai berhampiran. Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 17 minit,” katanya.
Hampir pada masa sama, satu lagi kebakaran dilaporkan di Pantai Serina, Kunak, pada jam 6.47 petang melalui panggilan terus ke balai bomba.
Pasukan BBP Kunak tiba di lokasi dalam tempoh 10 minit dan mendapati sebuah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya bersama sebuah kereta serta dua motosikal.
Komander Operasi, PBK I Kamalrulzaman Roslie menjelaskan, kebakaran ini berjaya dikawal dalam masa 13 minit menggunakan sumber air dari tangki jentera bomba.
Insiden di Kunak turut mendapat kerjasama tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Berdasarkan laporan rasmi, kebakaran di Lahad Datu melibatkan 17 anggota dan lima kenderaan dengan tempoh operasi sejam 39 minit. Manakala, insiden di Kunak membabitkan 15 anggota dan empat kenderaan dengan tempoh operasi dua jam 24 minit.
Pihak bomba mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kedua-dua kejadian. Operasi ditamatkan selepas kawasan disahkan selamat.







