Perkembangan keselamatan positif ESS Zone perlu diperjelas kepada wakil negara luar

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu perkembangan positif keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan mereka menilai semula serta mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan situasi keselamatan yang semakin baik, termasuk tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan sejak Januari 2020.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya menikmati pelbagai destinasi pelancongan di Pantai Timur negeri ini,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone di Menara Kinabalu, kelmarin.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hajiji berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di ESS Zone berada pada tahap baik dan terkawal.
“Baru-baru ini saya sendiri melawat enam pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan kes penculikan untuk wang tebusan sejak enam tahun lalu merupakan pencapaian penting hasil komitmen Eastern Sabah Security Command (Esscom), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Esscom, PDRM, ATM, APMM dan semua agensi keselamatan atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur terus terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan serta kebajikan anggota keselamatan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.

KENANGAN …. Hajiji Noor (duduk, tengah) bersama Saifuddin Nasution bergambar dengan ahli Jawatankuasa Bersama ESS Zone sebelum mempengerusikan mesyuarat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.