Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Seorang pekerja kontraktor warga Filipina berusia 56 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di sebuah sekolah di Batu 1, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik di luar pintu gerbang sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu bagi menjalankan siasatan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa terjatuh di luar pintu gerbang sekolah ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu.
“Berdasarkan maklumat awal, tangga yang digunakan mangsa dipercayai tersentuh kabel elektrik sehingga menyebabkan mangsa terkena renjatan sebelum terjatuh.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.31 pagi.
Katanya, anggota bomba bersama jentera dikejarkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat.
“Pasukan bomba turut menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan operasi mengeluarkan mangsa dapat dijalankan dengan selamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir di lokasi kejadian.







