Pengedar ditahan bersama lebih 167 gram dadah ekstasi

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah berjaya ditahan polis dalam operasi di Inanam, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 28 tahun terbabit ditahan bersama lebih 167 gram dadah jenis ekstasi.
Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi berjaya menahan suspek di kawasan rumah kedai.
Katanya, suspek kemudiannya menyerahkan satu plastik berisi beberapa bungkusan dadah jenis ekstasi.
“Pasukan operasi kemudiannya merampas semua dadah berkenaan termasuk telefon pintar jenis Iphone 15 Pro milik suspek untuk membantu siasatan.
“Dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan operasi kemudiannya menyerbu sebuah sebuah bilik sewa di tingkat 3 bangunan di Inanam Township.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas beberapa lagi dadah jenis ekstasi,” katanya dalam kenyataan media.
Alhusin berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai mula aktif menjalankan kegiatan pengedaran jus, pil ekstasi dan ketamin pada September lalu untuk pasaran sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Katanya, suspek turut mendapatkan bekalan dadah melalui seorang lelaki yang tinggal di kawasan Likas dan mereka hanya berurusan di dalam kereta.
Sehubungan itu, Alhusin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

SUSPEK berusia 28 tahun ditahan bersama 167 gram dadah jenis ekstasi.
DIRAMPAS …. Dadah jenis ekstasi yang berjaya dirampas daripada suspek.