Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Perniagaan Sabah yang berhasrat berkembang ke pasaran nasional dan serantau perlu mempunyai strategi jelas, pengurusan mantap serta pasukan berkeupayaan, bukan sekadar bergantung pada akses kepada pembiayaan.
Presiden Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah merangkap Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau, berkata asas perniagaan yang kukuh penting bagi memastikan pertumbuhan mampan dan daya saing jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika menyertai forum Kembara Borneo 2026 – Sabah pada 14 Oktober lalu, anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Capital Markets Malaysia (CMM).
Berdasarkan pengalaman KTC berkembang daripada syarikat berpangkalan di Sabah kepada kumpulan perniagaan dengan rangkaian di seluruh negara, Dexter menegaskan bahawa usahawan perlu mempunyai pelan pertumbuhan realistik sebelum mendapatkan modal tambahan.
“Anda mesti mempunyai pelan yang jelas,” katanya.
Menurutnya, usahawan perlu memahami prestasi kewangan syarikat, termasuk pendapatan, margin keuntungan, kos operasi dan keuntungan bersih, selain mengenali pesaing serta memastikan pasukan pengurusan mampu menyokong perkembangan perniagaan.
Beliau berkata pelabur bukan sahaja menilai unjuran pertumbuhan dan keperluan modal, malah turut meneliti kecekapan operasi, kestabilan tenaga kerja serta keupayaan syarikat menggunakan pembiayaan secara berkesan.
Mengimbas persediaan KTC untuk penyenaraian awam, Dexter berkata proses penelitian oleh SC mendorong syarikat memperkukuh kepimpinan, menambah baik operasi dan meningkatkan amalan tadbir urus korporat.
Katanya, penyenaraian awam bukan sekadar saluran mendapatkan modal, malah membantu membentuk organisasi yang lebih berdisiplin dan bersedia untuk berkembang.
Beliau turut menggalakkan usahawan Sabah memanfaatkan platform seperti Kembara Borneo untuk berinteraksi dengan pengawal selia dan profesional pasaran modal bagi memahami pilihan pembiayaan serta mengenal pasti kelemahan perniagaan.
Sementara itu, moderator forum, Tan Sri Andrew Sheng, berkata rangkaian hubungan merentas industri dan rantau mampu membuka peluang kerjasama serta akses kepada pasaran global.
Kembara Borneo 2026 – Sabah bertujuan meningkatkan kesedaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan mengenai peluang pembiayaan pasaran modal dan inisiatif untuk memperkukuh pertumbuhan serta daya saing perniagaan.

Dexter Lau beramah mesra dengan peserta pada sesi Kembara Borneo 2026 – Sabah.








