PGRS sokong Hajiji, tuntutan hak 40 peratus Sabah perlu disegerakan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyokong pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presidennya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, supaya tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan diselesaikan segera.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Haji Nizam Haji Abu Bakar Titingan, berkata pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, tuntutan 40 peratus bukan perkara baharu atau soal ihsan mana-mana pihak, sebaliknya hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini. Ini perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara kedua-dua kerajaan.
“Namun, bayaran interim itu tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan seperti ditegaskan Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan.
Nizam turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selain usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta penyelesaian perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63.
Katanya, semua perkara berkenaan berkait rapat dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan keupayaan negeri menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.
“Pendekatan Hajiji jelas, iaitu tegas mempertahankan hak Sabah tetapi pada masa sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian konkrit.
“Pendekatan ini sudah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 dan perlu diteruskan sehingga semua perkara tertangguh diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Nizam berkata, PGRS meletakkan kepentingan hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian dan akan terus berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam memperjuangkan tuntutan berkenaan.
“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang sudah dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan bertanggungjawab,” katanya.

Nizam Titingan.