Oleh JOHN TAMBANAN
RANAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) melancarkan pelan penyusunan semula parti selama 100 hari bagi memperkukuh organisasi, meningkatkan disiplin serta merangka strategi kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata keputusan pilihan raya lalu perlu dijadikan titik tolak untuk STAR melakukan penilaian menyeluruh dan memperkemas kekuatan parti di semua peringkat.
Katanya, Jelajah 100 Hari yang diketuai Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang, akan memberi tumpuan kepada audit organisasi, disiplin parti serta usaha menghapuskan puak dalaman.
“STAR perlu bergerak dengan strategi lebih pragmatik, memberi tumpuan kepada kawasan kekuatan dan membina kerjasama politik yang saling menguntungkan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ulang Tahun Ke-10 STAR di Rimbunan Hijau Residence, Kampung Silou, di sini.
Pada masa sama, Jeffrey menegaskan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah adalah hak perlembagaan, bukannya pemberian atau budi bicara Kerajaan Persekutuan.
Katanya, bayaran interim tahunan tidak seharusnya dijadikan pengganti kekal kepada formula 40 peratus seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata pelaksanaan formula berkenaan berpotensi meningkatkan hasil Sabah dengan ketara, justeru STAR akan terus memperjuangkan hak itu berlandaskan Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jeffrey turut mengulangi pendirian STAR supaya Sabah dan Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga perwakilan di Parlimen.
Menurutnya, kerjasama lebih erat antara kedua-dua wilayah menerusi gagasan “Borneo Bloc” penting bagi memperkukuh suara serta melindungi kepentingan dan autonomi Sabah dan Sarawak.
Dalam bidang ekonomi, katanya, STAR turut merancang inisiatif menerusi rangkaian koperasi dan entiti komersial parti bagi membantu masyarakat tempatan meningkatkan nilai aset tanah serta mewujudkan sumber pendapatan mampan.
“Di bawah semangat ‘Unity is Duty’, kita tidak mencari permusuhan dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita tidak akan menyerahkan hak perlembagaan atau masa depan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.

Dr Jeffrey ketika berucap pada Jelajah Ulang Tahun Ke-10 STAR di Rimbunan Hijau Residence, Kampung Silou, Ranau.







