Oleh Wu Vuide
NABAWAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nabawan dan projek perumahan anggota polis akan dibangunkan dengan kos siling RM150 juta, dengan kerja pembinaan dijangka bermula Januari 2027.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata projek itu merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh keselamatan di sepanjang sempadan Sabah-Indonesia.
“Ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram memerlukan infrastruktur lebih kukuh, kekuatan anggota serta keupayaan operasi yang lebih mantap,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu di sini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Haji Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Hajiji berkata, Nabawan yang diwartakan sebagai daerah pada 1976 masih beroperasi di bawah pentadbiran IPD Keningau, meskipun meliputi kawasan seluas 6,089 kilometer persegi.
Katanya, keluasan kawasan berkenaan menyukarkan pelaksanaan tugas kepolisan secara berkesan tanpa sebuah IPD sendiri.
Beliau berkata, pembinaan IPD baharu itu akan memenuhi keperluan operasi semasa, mempercepatkan masa tindak balas polis dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.
Projek itu juga akan menyediakan kemudahan tempat kerja serta perumahan yang lebih sesuai untuk anggota polis bertugas di daerah berkenaan.
“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan integriti tertinggi, mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan. Kita bukan sekadar mahu projek ini siap, tetapi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam jangka panjang,” katanya.
Hajiji berkata, keselamatan merupakan asas kepada pembangunan dan kerajaan negeri akan terus menaik taraf infrastruktur keselamatan, khususnya di daerah pedalaman.

PECAH TANAH …. Hajiji menyempurnakan upacara pecah tanah projek IPD dan perumahan polis Nabawan, disaksikan Arthur (dua dari kiri) dan Khalid (kanan).






