Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 122 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 15 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh Sabah dalam tempoh seminggu.
Dalam operasi berkenaan, seramai 333 individu diperiksa di beberapa lokasi strategik yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada keseluruhan 122 individu yang ditahan, 35 daripadanya adalah kanak-kanak, manakala selebihnya terdiri daripada golongan dewasa.
Warga Filipina mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 91 orang, diikuti Indonesia (29) dan Pakistan (dua).
“Daripada jumlah tangkapan warga Filipina, seramai 24 lelaki dan 37 wanita dewasa ditahan, selain 18 kanak-kanak lelaki serta 12 kanak-kanak perempuan.
“Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan 17 wanita dewasa serta lima kanak-kanak, manakala dua lagi merupakan lelaki warga Pakistan,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di seluruh negeri bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan PATI boleh menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my,” menurut kenyataan itu.

OPERASI … Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sabah di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini.






