Pandikar Amin luah hasrat mohon sokongan rakyat Pintasan

KOTA BELUD: Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi N.08 Pintasan, tampil meluahkan hasrat dan menjelaskan kekeliruan yang timbul berkaitan pencalonannya, selain merayu sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurut beliau, keputusan bertanding bukanlah kerana mahu merebut kerusi, sebaliknya didorong amanah untuk memperjuangkan kepentingan negeri.
“Saya tahu ada yang menegur dan mengatakan saya merebut DUN Pintasan daripada pemimpin terdahulu. Hakikatnya tidak benar,” katanya sambil mendedahkan bahawa beliau pernah menawarkan diri untuk tidak bertanding sekiranya penyertaannya memecah-belahkan rakyat.
Namun, jelasnya, pucuk pimpinan GRS menegaskan bahawa pengalaman beliau bersama Tan Sri Anifah Aman amat diperlukan untuk menangani isu besar seperti pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hubungan antarabangsa dan hak negeri dalam Perlembagaan.
Pandikar menegaskan bahawa walaupun pemimpin baharu mampu mengurus hal pembangunan dan kebajikan, isu berat termasuk rundingan dengan Kerajaan Persekutuan serta memperjuangkan suara komuniti kecil seperti Iranun, Tabilung dan Bajau memerlukan pengalaman luas.
“Saya tidak datang sekadar untuk bertanding. Saya mahu menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus masalah rakyat, walaupun tidak dapat capai 100 peratus,” katanya sambil memaklumkan akan mengemukakan Manifesto Peribadi sebagai panduan jelas pentadbirannya kelak.
Beliau turut berkongsi bahawa kewujudan DUN Pintasan sendiri adalah hasil permohonannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2016 bagi menyatukan komuniti Iranun dan Tabilung serta mengukuhkan suara mereka di Dewan Undangan Negeri.
Mengulas pelbagai tuduhan sepanjang lebih empat dekad dalam dunia politik, Pandikar tampil rendah hati memohon maaf atas sebarang kekurangan dan menyeru rakyat supaya terus menegur serta membimbing dirinya.
“Saya manusia, tidak sempurna. Tetapi saya mahu memperbaikinya,” katanya.
Pada usia 70 tahun, beliau mengakui PRN kali ini mungkin peluang terakhir untuk menunaikan janji yang masih belum tertunai.
“Saya datang merayu, bukan kerana saya lemah, tetapi kerana saya sayang kawasan ini,” katanya.
Pandikar menyeru rakyat Pintasan agar memberinya peluang pada 29 November 2025 untuk menamatkan perjuangan yang telah lama digerakkan, demi kawasan yang beliau perjuangkan sehingga diangkat sebagai sebuah DUN.

Pandikar Amin Mulia