PAPAR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau dengan mengadakan jelajah pertama di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Limbahau semalam.
Menggunakan slogan ‘Limbahau Di Hatiku’, Juil berkata pemilihan PDM Limbahau sebagai lokasi permulaan kempennya melambangkan kekuatan dan identiti kawasan berkenaan yang sentiasa menjadi tunjang sokongan rakyat.
Pada pertemuan bersama penduduk itu, beliau turut berkongsi pencapaian program pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang berada dalam blok kerajaan, termasuk inisiatif berkaitan infrastruktur, kebajikan dan komuniti.
Juil turut menggariskan perancangan baharu sekiranya dipilih semula pada 29 November ini dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberikan mandat membentuk kerajaan negeri. Antara fokusnya ialah perluasan bantuan kebajikan yang dekat di hatinya.
“Sebahagian bantuan ini telah saya laksanakan sebelum ini dan akan diteruskan selepas pilihan raya. Antaranya bantuan temujanji hospital, bantuan komuniti dan bantuan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata dua inisiatif baharu turut diperkenalkan, iaitu Bantuan Baby Limbahau dan Bantuan Kasih Sayang Limbahau, manakala untuk generasi muda, PDM Limbahau akan dijadikan PDM S.T.E.M. bagi merancakkan aktiviti pendidikan dan inovasi.
Juil berkata beliau akan menghuraikan lebih lanjut visinya dalam siri jelajah kedua di PDM Kaiduan.
Pada PRN kali ini, beliau berdepan pertandingan sembilan penjuru menentang Joseph Philip Kulip (PIS), Linda Beda Dunstan (Bebas), Malik Luman (KDM), Datuk Nelson W. Angang (UPKO), Datuk Edward Dagul (SAPP), Roger @ Roy Valentine Amandus (Warisan), Adrian Alexander (PN-Bersatu) dan Marcellus Tambud (Bebas).
Pemerhati politik menjangkakan Juil tidak berdepan laluan sukar mempertahankan kerusi Limbahau, susulan populariti peribadi dan reputasinya yang mengakar di kawasan itu. Kedekatannya dengan penduduk setempat menjadikannya sinonim dengan Limbahau, satu faktor yang masih berpengaruh dalam corak pengundian khususnya di kawasan luar bandar.







