SEPANGGAR: Penyertaan seramai 300 bekas ahli Parti Warisan (WARISAN) ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membuktikan keyakinan penduduk kawasan itu terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi, berkata perkembangan itu bukan sahaja menunjukkan sokongan, tetapi mesej jelas bahawa rakyat sedar hanya GRS berupaya membawa pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi di kawasan berkenaan.
Dengan slogan Darau D’Hati, beliau menerima borang keahlian kumpulan berkenaan yang diketuai bekas Ahli Jawatankuasa Bahagian WARISAN Sepanggar, Sabar Dasad.
“Alhamdulillah, program malam ini menyaksikan saudara Sabar dan 300 ahli WARISAN membuat keputusan menyertai perjuangan Gagasan Rakyat serta GRS. Ini keputusan besar dan lahir daripada keikhlasan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan borang.
Mohamed Razali, atau lebih dikenali sebagai Bob, memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan langkah positif. Beliau berkata keputusan itu bukan mudah, khususnya bagi Sabar yang telah sembilan tahun bersama WARISAN, namun kesedaran untuk melakukan perubahan menjadi pendorong utama.
“Daripada bahasa badan dan ekspresi muka, jelas keikhlasan mereka. Bukan mudah meninggalkan parti yang lama diikuti, tetapi keyakinan terhadap kepimpinan WARISAN Sepanggar semakin pudar,” katanya.
Beliau turut membayangkan lebih ramai ahli WARISAN bakal menyertai Gagasan Rakyat dalam masa terdekat, namun enggan mengulas lanjut atas faktor strategi parti.
Pada majlis itu, Razali turut berkongsi perancangannya untuk membangunkan Darau sekiranya diberi mandat pada 29 November ini dan GRS membentuk kerajaan negeri. Antara tumpuan ialah penubuhan Majlis Pembangunan dan Pengurusan Kampung serta taman perumahan.
Beliau juga mahu meningkatkan kemudahan kesihatan di Likas melalui projek pertukaran tanah (land swap) bagi Klinik Kesihatan Likas yang kini berdepan kekangan ruang. Katanya, klinik sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit semakin bertambah dan perlu dipindahkan ke tapak lebih sesuai.
Penduduk Kampung Kalansanan Laut, Pelimah Abd Rais, 62, berharap pembangunan dipertingkat di kampung berkenaan.
“Saya harap Datuk Bob menjadi ADUN dan GRS dapat membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Hanzalah @ Haji Julniealam, 49, berkata Razali aktif turun padang menyantuni penduduk.
“Saya mahu kemajuan dalam pendidikan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda. Dengan adanya kedua-duanya, masalah kemiskinan pasti dapat diatasi,” katanya.
Razali yakin GRS mampu meraih kemenangan di DUN Darau pada PRN kali ini. Turut hadir ialah Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Ismail Sabran, dan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Yong Vui Chung.
Pada PRN Sabah lepas, kerusi DUN Darau dimenangi calon WARISAN, Azhar Matussin, dengan majoriti 562 undi.








