TAMPARULI: Prihatin terhadap kebajikan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli, Datuk Seri Jahid Jahim, telah mengadakan lawatan ke Girl’s Hostel Kampung Bantayan bagi menyampaikan bantuan makanan dan sumbangan wang tunai kepada penghuni asrama tersebut.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu menampung keperluan harian para pelajar yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan serta memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif.
Turut hadir mengiringi Jahid dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Madin Anak, Naib Ketua Bahagian I, Jilias Lintar, Ketua Pergerakan Pemuda Rizkam Wenddy Yabin, serta mantan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
Jahid, yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), berkata, bantuan yang disalurkan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan pelajar luar bandar yang berdepan dengan cabaran ekonomi.
“Kita amat berbesar hati dapat membantu pelajar-pelajar di asrama ini. Pendidikan merupakan aset penting untuk masa depan, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan sumbangan dan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin bersama-sama membantu meningkatkan kebajikan pelajar di asrama tersebut.
Menurut Jahid, semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan.
Lawatan dan penyampaian sumbangan tersebut turut memberi peluang kepada rombongan untuk berinteraksi dengan para pelajar serta pihak pengurusan asrama bagi mendapatkan gambaran mengenai keperluan semasa yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang.-John Tambanan.

SEMOGA MEMBANTU …. Jahid (tengah) menyaksikan Herman Tunggiging menyerahkan sumbangan kepada Sister Apollonia.






